Alhamdulillah.
Tahun baru akan menjelma tak berapa hari lagi. 2013 hadir dengan harapan
dan iltizam jitu para guru untuk memartabatkan pendidikan anak didik
mereka. Benarlah kata pepatah bahawa 'guru ibarat lilin yang membakar
diri'. Segala usaha yang termampu oleh kudrat seorang manusia dilakukan
demi untuk meningkatkan pencapaian anak didik mereka. Hatta, masa
bersama keluarga tercinta juga sanggup dikesampingkan demi untuk melihat
kejayaan dan kecemerlangan anak didik yang merupakan generasi pelapis
pemangkin pembangunan insan dan kemajuan negara tercinta.
'Lilin Seorang Guru Tidak Akan Pernah Padam' Kini 2012 akan berlalu bersama seribu kenangan manis dan pahit. Segalanya tinggal sebagai sebuah sejarah yang akan terus terpahat utuh di hati. Bagi anak-anak didik pula, ingatlah bahawa masa tidak menunggu kita, sebaliknya kita harus pantas mengejar masa. Banyak ilmu dan pengalaman harus ditimba sebagai persiapan untuk kehidupan yang lebih gemilang di masa hadapan. Cukuplah masa untuk leka bermain, bersantai dan menghadap peti televisyen, mendengar mp3 atau bermain playstation.
Bagi
pelajar Tahun 6 sesi 2013, waktu untuk anda semua menumpukan seluruh
usaha, masa dan tenaga telah bermula sekarang. Lengkapkanlah diri dengan
kemahiran-kemahiran yang sepatutnya dan ulangkaji pelajaran yang kurang
mahir agar anda lebih bersedia untuk belajar di Tahun 6 nanti. Bagi
semua pelajar Tahun 6 sesi 2012 yang telah menunjukkan prestasi yang
cemerlang dalam UPSR lalu dan berjaya ke SBP atau sekolah-sekolah
cemerlang lain, janganlah leka dengan kejayaan yang telah diraih.
Sebaliknya kekalkan dan tingkatkanlah usaha agar mengecap kejayaan yang
lebih manis di tahun mendatang. Bagi pelajar yang kurang berjaya pula,
usahlah bersedih dan hanyut dalam lautan kepiluan kerana ia hanya akan
merosakkan diri sendiri sahaja. Sebaliknya, jadikanlah kegagalan ini
sebagai langkah permulaan untuk mengorak kejayaan di hari muka. Kejayaan
itu pastinya akan menjadi lebih manis sekiranya kita menerima ketentuan
Allah swt dengan redha dan hati yang lapang. Ingatlah Firman Allah
bahawa 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, kecuali kaum
itu sendiri yang berusaha untuk mengubahnya'.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua guru, staf non-akademik, AJK PIBG, para ibu bapa / penjaga pelajar-pelajar, organisasi dan orang perseorangan yang sentiasa bersama kami dan selalu memberikan kerjasama yang erat dan tidak berbelah-bagi dalam menjayakan semua program sekolah selama ini. Semoga jalinan kerjasama dan keprihatinan tuan puan akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi dalam menuju hasrat dan impian untuk meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah anak-anak tuan puan dan mencapai visi dan misi sekolah secara amnya. Selamat datang 2013..
No comments:
Post a Comment