Jambatan baharu dirasmikan

Mustapa menandatangani plak bagi menyempurnakan perasmian jambatan baharu Pulau Beluru

TUMPAT – Jambatan Pulau Beluru yang musnah dalam tragedi bah kuning pada penghujung tahun lalu kini telah siap dibina baharu dengan kos keseluruhan RM670,000.
Penyiapan jambatan baharu itu sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi kira-kira 3,000 penduduk di kawasan pulau yang terputus jalan perhubungan darat akibat bencana banjir luar biasa yang melanda seluruh negeri ini.
Pembinaan semula jambatan berkenaan mengambil masa selama dua bulan dan penyiapannya dapat kembali menghubungkan Pulau Teluk Renjuna, Pulau Beluru dan pulau-pulau sekitar.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM780 Juta bagi kerja-kerja membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir.
"Peruntukan itu termasuk untuk membaik pulih jalan rosak, landasan kereta api, klinik kesihatan dan beberapa infrastruktur lain. Alhamdulillah sebahagian daripada infrastruktur telah dibaiki termasuk Jambatan Pulau Beluru," katanya selepas merasmikan jambatan baharu itu, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha, Ketua Pasukan Petugas Khas Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Ali Mat Yunus, Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kos pembaikan yang paling besar adalah landasan kereta api melibatkan perbelanjaan sebanyak RM460 Juta.
“Untuk landasan kereta api, kos pulih agak tinggi kerana membabitkan keseluruhan landasan bermula dari Merapoh, Pahang, hingga ke Tumpat. Setakat ini proses baik pulih landasan berkenaan sudah bermula dari Gemas, Negeri Sembilan, ke Gua Musang dan untuk keseluruhan mungkin mengambil masa setahun,” katanya.
Tambahnya, pembinaan Jambatan Pulau Beluru sepanjang 60 meter dipercepatkan kerana ia menjadi laluan utama penduduk di kawasan pulau.